Perluaskan kemahiran, kepakaran anggota bomba





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 Mei. - Bidang tugas dan tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), saban hari dilihat semakin meluas serta mencabar yang memerlukan anggotanya untuk sentiasa bersiap sedia menempuh apa jua jenis halangan dan cabaran.

 

Selain memadam, mencegah dan mengawal kebakaran, tugas dan tanggungjawab JBP juga adalah untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda sama ada insiden berkenaan berskala domestik atau berskala industri.

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman pada Majlis Perbarisan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JBP Ke-64, Tahun 2024 yang diadakan baru-baru ini di Padang Kawad, Ibu Pejabat JBP, Landasan Lama, Berakas.

 

Malah anggota bomba juga menurut Yang Berhormat, sering dikerahkan untuk menyelamat penduduk di negara ini dari gangguan segala jenis haiwan sama ada liar atau peliharaan, pokok tumbang, tanah susur dan sebagainya.

 

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, melihat kepada luasnya bidang tugas yang digalas oleh pasukan bomba, sudah setentunya memerlukan kepakaran dalam bidang-bidang yang tertentu antaranya dalam memadam kebakaran sama ada kebakaran rumah, hutan, dan kenderaan.

 

Manakala kepakaran dalam menyelamat pula ujar Yang Berhormat, memerlukan anggota bomba mahir dalam bidang seperti menyelam, mencari dan menyelamat, membuat penyiasatan dan penganalisaan ke atas maklumat yang diperolehi selepas terjadinya sebarang insiden.

 

Selain itu tambah Yang Berhormat, mengetahui akan perkembangan industri di negara ini juga, seperti perkembangan industri hiliran, sudah setentunya mempunyai risiko yang seharusnya telah diambil kira (calculated risk).

 

Oleh itu tegas Yang Berhormat, Pasukan Bomba dan Penyelamat hendaklah mempersiapkan aset-aset serta para anggotanya dalam pelbagai kemahiran seperti pengendalian peralatan dan mempunyai teknik tertentu di dalam menangani insiden seperti tatacara mengendali bahan kimia, evakuasi, dan sebagainya.

 

Yang Berhormat seterusnya menyarankan pihak pengurusan JBP untuk menyediakan dan sentiasa me'review' Competency Framework, demi memastikan jabatan mempunyai anggota-anggota yang berkemahiran dan berpengalaman termasuk keperluan untuk menerapkan penggunaan teknologi terkini dalam menjalan tugas seharian.

 

“Alhamdulillah, peramba / saya difahamkan bahawa JBP sedang dalam proses mengemas kini program latihan bagi menaik taraf keupayaan anggotanya dengan berpandukan kepada Competency Framework yang disediakan. JBP hendaklah sentiasa memastikan setiap pegawai dan anggota bomba diberikan kemahiran yang diperlukan dan bersesuaian mengikut pengkhususan masing-masing bagi membolehkan mereka menjalankan tugasan dengan efisien dan efektif serta jabatan hendaklah memastikan tidak seorang pun yang 'tercicir' dari diberikan peluang meningkatkan kemahiran diri," ujar Yang Berhormat lagi.

 

Yang Berhormat turut difahamkan bahawa seramai 52 pegawai bomba dari pelbagai peringkat telah dihantar untuk menghadiri kursus Rota Commander Course (RCC) dan Section Commander Course (SCC) sejak tahun 2001 di Singapore Civil Defence Force (SCDF).

 

Ini jelas Yang Berhormat, adalah sejajar dengan termeterainya Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara JBP, Negara Brunei Darussalam dengan Singapore Civil Defence Force SCDF pada 5 September 2022, yang mana perjanjian ini adalah dihasratkan untuk memperluaskan lagi kemahiran anggota bomba dalam mencari dan menyelamat mahupun dalam pengurusan bencana.

 

Yang Berhormat juga berharap melalui Memorandum Persefahaman yang berkaitan dengan bencana di antara Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Brunei (NDMC) dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Malaysia (NADMA) Malaysia yang telah ditandatangani pada 5 April 2021 iaitu melalui Special Malaysian Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) akan dapat membantu JBP Brunei untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang sekali gus membolehkan anggota bomba untuk dikerahkan dalam apa jua misi membantu negara-negara serantau dan antarabangsa khususnya yang dilanda bencana, ini termasuk aset-aset yang dimiliki oleh JBP juga akan dapat diperakui oleh badan antarabangsa.

 

Dalam hasrat untuk mendedahkan anggota JBP di peringkat antarabangsa tambah Yang Berhormat, adalah difahamkan bahawa beberapa latihan dan pertandingan di peringkat serantau di mana pada tahun 2023, anggota JBP bersama pihak NDMC telah mengikuti latihan bencana peringkat serantau iaitu ASEAN Regional Disaster Exercise (ARDEX-2023) di Yogyakarta, Indonesia.

 

Manakala pertandingan dalam bidang kemahiran pula jelas Yang Berhormat, beberapa anggota JBP telah mengikuti pertandingan Singapore Global Firefighter and Paramedic Challenge (SGFPC2023) yang juga telah disertai oleh beberapa negara ASEAN dan juga Australia.

 

Close